|
Tak halal
Hari sabtu lepas Pak Man ke Shahab Perdana untuk menjemput anaknya yang baru sampai dari Ipoh. Pak Man sebenarnya ada 2 pilihan. Pilihan pertama memandu keretanya ke Shahab Perdana. Pilihan kedua membiarkan anaknya balik ke rumah dengan menggunakan perkhidmatan bas.
Bila Pak Man memilih untuk memandu kereta ke Shahab Perdana, bukanlah Pak Man bermaksud hendak mengingkari nasihat YAB Timbalan Perdana Menteri untuk rakyat jelata menggunakan perkhidmatan awam sebagai alternatif penjimatan kerana kenaikan harga petroleum. Pak Man seboleh-bolehnya hendak ikut nasihat menteri. Pak Man selalu berpendapat para menteri adalah orang yang bijak. Tetapi kali ini, kalau dia ikut nasihat menteri, dia kasihan kepada anaknya yang terpaksa menapak sejauh kira-kira dua kilometer, kerana daripada tempat anak turun dari bas ke rumahnya tidak ada perkhimatan pengangkutan awam.
Mungkin dengan peruntukan sebanyak 4.4 bilion ringgit hasil dari penjimatan subsidi minyak nanti dapatlah kerajaan mengadakan perkhidmatan bas ke tempat yang paling hampir dengan rumahnya.
Bila sampai di Shahab Perdana, Pak Man terpaksa mengambil tiket parking kereta daripada pengawal di jalan masuk. Kemudian Pak Man teruskan ke anjung Shahab Perdana. Dia melihat anaknya sedang menanti. Dia berhentikan keretanya. Anaknya masuk.
Pak Man tidak boleh terus bergerak kerana di depannya banyak kereta sedang beratur. Lama juga rasanya dia menunggu. Kemudian semua kereta bergerak perlahan-perlahan macam semut.
Sebelum keluar dari kawasan Shahab Perdana, Pak Man kena serah kopun parking tadi kepada Pemungut Wang Parking.
"35 sen" kata pemungut wang parking. "Pasai apa kena bayar? Saya tak parking pun" jawab Pak Man. "Pak Cik berada 6 minit di kawasan ini" "Saya hanya berhenti ambil anak saya. Yang lambat kerana kiu nak mai sini" "Itu tak kira. Pak Cik kena bayar juga" "Baiklah. Berapa lama saya tadi" "6 minit" "Ai. 6 minit kena 35 sen." "6 minit di kira setengah jam. Setengah jam 35 sen." "Nah. Ambil duit ni. Tapi aku tak halai yang lebih. Aku lalu kaawasan ni 6 minit saja. Aku nak bayar untuk 6 minit saja. Yang lebih aku tak halai."
Kepada anak di dalam kereta, Pak Man berpesan "bukan makan babi saja yang tak halal, beli makanan dengan pendapatan yang tak halal pun tak boleh juga."
# Pak Long | Permalink
| | |