Tanya Sama Superdiman
Oleh: Superdiman
1) Kenapa pakai nama Superdiman? Dari mana asal-usul nama itu?
Aku ada banyak nama panggilan (nickname). Masa kat sekolah menengah, ada kawan yang panggil aku Super Man. Kawan aku Hazlan dipanggil Super Lan dan begitulah keadaannya dengan beberapa kawan aku yang lain. Diman pula adalah nama panggilan aku masa kat UPM dulu. Masa aku mula-mula nak berblog, aku nak guna nama Diman tapi bila search kat Google, banyak pula nama Diman. Jadi, aku gabungkan nama panggilan Super dengan Diman lalu terhasillah Superdiman. Aku rasa senang dengan nama Superdiman tu lalu aku pun terus pakai sampai sekarang.
2) Bila mula berblog? Macam mana boleh terjerumus ke dunia blog?
Panjang ceritanya Mat Jan, biar aku ringkaskan. Aku mula mengenali blog sewaktu ia masih dipanggil jurnal. Seingat aku tahun 2000, iaitu semasa aku dalam tahun pertama kat UPM. Aku membaca jurnal Honeybiru. Tapi sebab aku hanya akses internet kat kafe, kekerapan aku membaca jurnal pun kurang. Menjelang tahun 2002, aku mula membaca jurnal lain seperti Fajaronline dan aku mula mengintai Geng Jurnal. Tahun 2003 aku dah kerja dan aku pun dah ada akses internet sendiri kat rumah. Jadi, aku aktif semula. Aku rasa seronok dan teruja membaca blog orang lain lalu terbit keinginan untuk menulis blog sendiri. Aku kerap masuk ke laman direktori Geng Jurnal dan membaca secara rawak mana-mana blog yang ada dalam tu. Lepas tu aku mula mengintai forum Geng Jurnal. Bagi aku, forum ni berbeza dari forum-forum lain. Pada Jun 2004, aku dipertemukan dengan Idham, lalu membawa aku mengenali blog AKMAnya (Andai Kau Menjadi Aku). Semangat untuk berblog semakin memuncak selepas mengenali Idham. Aku pun menuntut sedikit ilmu berblog dari Idham dan Fajar melalui emel. Selepas menyertai Gathering Geng Jurnal 2004 kat UPM, aku terus membuka blog sendiri dengan nama Oksigen. Entri pertama aku ialah pada 28 Disember 2004. Maknanya sudah lebih 15 bulan aku berblog.
3) Blog macam mana yang kamu suka baca? Blog yang mempunyai cerita tersendiri penulisnya seperti kehidupan seorang pesakit depresi, blog yang berupa siri e-novel, blog yang membicarakan hal-hal politik dan isu semasa, blog yang berunsur kelakar dan jenaka serta blog yang ada elemen puisi dan nilai kesusasteraan.
4) Blog macam mana yang kamu tak suka baca?
Blog yang membicarakan soal artis dan dunia hiburan. Aku memang kurang ambil peduli dengan dunia hiburan. Tetiap orang ada preferences sendiri kan. Tak semestinya aku tak suka baca blog tu aku tak kawan dengan penulisnya. 5) Apakah blog-blog ini ada peranan dalam masyarakat?
Blog adalah umpama medium alternatif untuk seseorang menyampaikan maklumat. Besar atau tidak peranan yang dimainkan dalam masyarakat adalah bergantung kepada kekuatan isi blog tersebut dan penerimaan pembaca atau masyarakat terhadap isi blog tersebut. Blog yang membicarakan isu semasa atau politik biasanya memberi maklumat yang kadang kala tidak dapat diperoleh dari media arus perdana.
Kalau Ayobkelubi kata ada blog yang bantu pihak polis, aku pun pernah terjumpa blog yang memaparkan gambar-gambar tak senonoh. Jadi, blog bukan je boleh mainkan peranan positif, malah juga boleh membawa peranan negatif. Tak senonoh betul blogger tu. Patut kena hukum tembak je.
Namun, peranan blog dalam masyarakat di malaysia secara amnya masih boleh dikatakan tidak ketara. Tak mustahil 10 tahun lagi blog boleh menjadi penentu masa depan parti politik Malaysia, siapa tahu?
6) Beberapa perubahan telah dilakukan dalam JURING musim ini. Apakah cadangan perubahan dan komen-komen lain yang ingin kamu kongsikan untuk program JURING musim depan?
Aku suka jika pusingan saringan diadakan terlebih dahulu. Biarlah peserta yang benar-benar komited je masuk bertanding. Selain itu aku cadangkan agar tugasan dibuat secara berkumpulan. Misalnya ada dua kumpulan, 6 orang setiap kumpulan. Setiap minggu hanya 2 tugasan dihantar dan juri akan memilih hanya satu je. Kumpulan yang tidak berjaya akan diminta berbincang singkirkan seorang dari ahlinya. Apabila jumlah peserta dalam satu kumpulan tinggal 2 orang, kumpulan itu akan dibubarkan dan kumpulan yang satu lagi dinobatkan sebagai juara kumpulan. Kemudian, semua peserta yang tinggal akan bertarung secara solo sehingga peringkat akhir. Mungkin kita perlukan tajaan yang lebih untuk menaja juara kumpulan. Pronya, setiap peserta akan memberi komitmen terbaik untuk tidak disingkirkan dan tugasan kumpulan akan jadi lebih berkualiti.Kontranya, jangkamasa pertarungan Juring akan jadi panjang dan mungkin akan hilang keseronokan pada pertengahan musim. Sebab Basri kata orang DBP dok perhati kita, maka kita mesti jaga kualiti.
7) Kalau kamu sepohon pokok, kamu nak jadi pokok apa? Mengapa?
Pokok? Kenapa kau tanya soalan ni hah Mat Jan? Apa motif kau sebenarnya?
Kalau diberikan peluang aku jadi pokok, biarlah aku jadi pokok kelapa. Sekalipun tinggi, tetap tunduk memandang ke bawah. Taknak lupa diri. Dari buah kelapa boleh dapat airnya. Air kelapa dikatakan penawar racun. Isi kelapa boleh dijadikan santan dan minyak kelapa. Daun kelapa boleh digunakan untuk anyam ketupat, lidinya boleh buat penyapu. Upihnya boleh diseret menjadi permainan budak-budak. Batangnya juga boleh dibuat kayu api. Sabut kelapa juga ada kegunaannya. Tempurung kelapa pun. Pendek kata, banyak bahagian yang boleh dimanfaatkan. Begitu juga aku. Aku nak diri aku memberi manfaat pada banyak orang.
Bila pokok kelapa mati dan ditebang, tinggallah tunggul. Bila aku mati nanti, tinggallah budi yang aku berikan buat bekalan aku kat akhirat nanti.
Sekian, siri Tanya Sama Superdiman.
#
Superdiman @ 1:57 AM |
|